KUALA LUMPUR, 17 OKT – Isu tafsiran ayat al-Quran dan kafir yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat menghangatkan sesi perbahasan Belanjawan 2024, hari ini.
Perang mulut bermula apabila Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) membangkitkan tindakan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran sebelum ini.
Beliau mempersoalkan, tindakan ahli parlimen DAP itu membuat tafsiran dan cubaan istinbat (membuat hukum syarak berdasarkan dalil al-Quran) yang sepatutnya hanya boleh dilakukan orang berilmu tinggi seperti ulamak.
“Saya nak tanya Ipoh Timur (Lee) belajar mana sehingga boleh jadi ulama. Orang bukan Islam tidak boleh lakukannya,” katanya di Dewan Rakyat.
Kemudian, Lee bangun dan mencelah selepas namanya dipetik Marzuk berhubung isu yang sudah diselesaikan sebelum ini.
“Ini satu sangkaan buruk dilontarkan kepada saya. Memetik nama saya secara tidak betul dengan sangkaan buruk,
“Yang dikatakan tafsir atau terjemah. Apa salah atas penterjemahan yang saya nukilkan. Apa salahnya. Salah atau tidak,” soalnya.
Bagaimanapun, situasi tegang itu ditenangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor yang mengendalikan sesi perbahasan.
Dalam masa yang sama, Ramli memberi amaran kepada Lee, Marzuk dan empat lagi Ahli Parlimen lain yang mengganggu perbahasan tersebut.
“Amaran pertama diberikan kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur (Lee), Pengkalan Chepa (Marzuk), Kuala Terengganu (Ahmad Amzad Mohamed), Pendang (Awang Hashim), Tangga Batu (Bakri Jamaluddin) dan satu lagi Ahli Parlimen tak nak mengaku. Saya akan ulang balik video untuk cari dan beri amaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, beliau akan memberikan keputusan untuk menyelesaikan perkara berbangkit itu pada persidangan esok. -airtimes.my
#semasa #DewanRakyat #Malaysia