Home Pertahanan dan Keselamatan Agong kurnia 293 pingat kepada anggota tentera, Panglima ATM terima PGAT

Agong kurnia 293 pingat kepada anggota tentera, Panglima ATM terima PGAT

by Bernama

KUALA LUMPUR, 17 OKT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2023 sesi pertama yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Mohammad selaku penerima kehormat, mendahului senarai 293 penerima pingat termasuk enam pegawai tentera negara asing.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Seri Paduka yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ke istiadat pengurniaan darjah itu.

Pada istiadat itu, Seri Paduka mengurniakan darjah kehormat terdiri daripada darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 13 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 43 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 112 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) melibatkan 116 penerima.

Al-Sultan Abdullah berkenan menganugerahkan darjah PGAT Kehormat kepada enam penerima dari negara asing iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Yudo Margono, Panglima Angkatan Tentera Singapura Laksamana Madya Aaron Beng dan Kepala Staf TNI Angkatan Darat Jeneral Dudung Abdurachman.

Penerima lain pingat itu ialah Komander Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mejar Jeneral Saeed Rashid Ali Al Shehhi, Panglima Tentera Laut Pakistan Laksamana Muhammad Amjad Khan Niazi dan Panglima Tentera Laut Diraja Thailand Laksamana Chemgchai Chomchemgpat.

Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan ATM.

Hadir sama ke istiadat itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak dan Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Sesi kedua istiadat itu dijadual berlangsung di Istana Negara, Khamis ini. – Bernama

#pertahanan #ATM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply