Sama ada secara kebetulan atau sememangnya dirancang, serangan berskala besar pejuang Hamas ke atas selatan Israel benar-benar menggoncangkan negara Asia Barat tersebut. Ini kerana pada tanggal sama 50 tahun lalu meletusnya Peperangan Yom Kippur apabila tentera Mesir melancaran serangan besar-besaran.
Ini juga merupakan siri keempat dalam Perang Arab Israel. Seperti Yom Kippur, serangan Hamas berlaku pada masa umat Yahudi bersedia untuk meraikan sambutan Simchat Torah yang juga merupakan hari cuti.
Cuma bezanya, serangan terbaru Hamas bukanlah peperangan konvensional atau melibatkan ketumbukan besar seperti kereta kebal atau terup-terup lain.
Sebaliknya, serangan Hamas pada subuh 7 Oktober itu melibatkan penyusupan kumpulan-kumpulan pejuang tetapi dengan cara taktikal yang sangat terancang.
Bukan sahaja pemimpin Israel, malah dunia tidak menyangka pejuang Hamas bertindak berani untuk melancarkan serangan terancang.
Video-video serangan pejuang Hamas yang berjaya masuk jauh ke bandar-bandar dalam sempadan Israel dengan batang tubuh tentera bergelimpangan merupakan satu pemandangan ngeri bagi rakyat awam Israel.
Selain bersandarkan keberanian, serangan ini juga menunjukkan ketajaman perancangan komander-komander Hamas mengatur gerak dan menyusun operasi secara taktikal.
Hamas juga telah memenangi pertempuran ini apabila imej dan visual pertempuran disebarkan dalam pelbagai laman media sosial.
Merobek maruah Mossad
Bukan hanya menggegar bumi Israel, ia jelas memberi tamparan tentang kemampuan agensi perisikan Israel terhadap analisis ancaman sehingga membolehkan perimeter bumi Israel diceroboh.
Penyusupan pejuang-pejuang Hamas ini dari Semenanjung Gaza telah merobek satu kepercayaan umum sebelum ini bahawa Israel mempunyai rangkaian perisikan yang paling hebat di dunia, Mossad.
Sudah pasti ketika ini pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sedang teruk menghentam pegawai-pegawai kanan Mossad mengapa tiada peringatan diberikan.
Ini kerana untuk melancarkan kira-kira 5,000 serangan roket dari Semenanjung Gaza ke atas bandar-bandar Israel juga bukan satu perkara mudah.
Walaupun ada yang mengatakan jumlah serangan roket tersebut tidak sebanyak ini, tetapi untuk mempersiapkan satu operasi sedemikian bukan bermula sehari dua.
Dalam kalangan pemerhati pertahanan juga mempersoalkan bagaimana sumber perisikan Israel di Gaza gagal menghidu atau meramalkan bakal berlaku sesuatu.
Kegagalan Mossad ini menunjukkan imej agensi perisikan yang didakwa maha hebat itu telahpun tercalar.
Tembakan roket secara rambang sejauh utara Tel Aviv ini yang jatuh mengenai kawasan kediaman mampu mendatangkan jumlah korban pada rakyat Israel.
Menerusi video dalam media sosial juga menunjukkan bagaimana tembakan roket ada yang tidak dapat ditangkis oleh sistem kubah besi Israel ataupun Iron Dome.
Iron Dome yang dibangunkan firma Rafael Advance Defence Systems mula digunakan pada 2011 untuk menangkis tembakan roket itu adalah sebahagian daripada sistem pertahanan udara berlapis Israel.
Peluru berpandu Tamir pada Iron Dome boleh menangkis roket atau peluru berpandu yang dilancarkan pada jarak empat hingga 70km.
Sungguhpun masih masih diakui sebagai antara sistem pertahanan udara terbaik, namun kemampuan pertahanan Iron Dome boleh dipersoalkan.
Isu politik dalam negara Israel
Pada aspek lain, serangan pejuang Hamas ini mengalihkan seketika perhatian pada pergolakan politik dalam negara Israel. Majoriti rakyat Israel membantah mengenai rang undang-undang mengehadkan kuasa mahkamah dalam menyemak keputusan dan pelantikan kerajaan
Netanyahu dan sekutu sayap kanannya.
Beliau dan sekutunya mendakwa rombakan itu diperlukan untuk mengekang kuasa berlebihan hakim yang tidak dipilih. Mahkamah Agung juga didakwa sering campur tangan dalam isu politik yang sepatutnya ditentukan oleh Parlimen.
Tetapi pengkritik berkata, rancangan itu akan memusnahkan sistem semak dan imbang negara selain membawa Israel ke arah pemerintahan autoritarian kerana melemahkan mahkamah dan memberi kuasa tanpa had kepada pakatan pemerintah.
Mereka yang menandatangani surat kumpulan protes termasuk bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak dan bekas Ketua Tentera dan Menteri Pertahanan, Moshe Yaalon yang merupakan saingan politik Netanyahu.
Dakwa mereka, undang-undang itu menghancurkan perkara-perkara yang dikongsi oleh masyarakat Israel, memecahbelahkan rakyat, menghancurkan Pasukan Pertahan Israel (IDF) dan menghukum keselamatan Israel.
Pun begitu, serangan ini telah memadamkan krisis politik Israel apabila Netanyahu berjaya membentuk kerajaan campuran dan juga Kabinet Perang berikutan dengan insiden ini.
Tekanan dan psikologi rakyat Israel
Pertempuran yang berlaku dalam kawasan penempatan awam menunjukkan begitu jauh pejuang Hamas berjaya masuk. Difahamkan, para pejuang Hamas turut berjaya menawan berpuluh tentera dan orang awam yang dibawa balik ke sempadan.
Ini juga memberi tekanan psikologi ke atas pemimpin dan rakyat Israel.
Seakan tersentak dengan serangan tersebut, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan bahawa negara itu sedang berhadapan dengan perang dan akan melancarkan serangan balas.
Netanyahu juga meminta semua lapisan masyarakat bersatu dalam situasi luar dugaan ini.
Seperti dijangka, Israel ketika ini telah pun melancarkan serangan balas dengan mengebom kedudukan-kedudukan di Semenanjung Gaza dengan melibatkan jumlah korban dalam kalangan orang awam dan kanak-kanak.
Angka korban awam Palestin ini adalah sesuatu yang telah dijangka, malah jika bukan diserang pun Israel tetap mengebom kawasan Palestin tanpa amaran.
Bagaimana pun, perkara paling digeruni ketika ini ialah jumlah korban dalam kalangan rakyat Israel serta tentera dan orang awam yang akan ditahan sebagai tebusan.
Ini kerana psikologi kelemahan rakyat Israel ialah apabila ada yang ditangkap menjadi tebusan Hamas. Malah, isu penangkapan ini dilihat sebagai ‘casus belli’ dan juga kemarahan meluap-luap Israel terhadap warga Palestin.
Senario ini juga bakal memberi gambaran terhadap sejauh mana konflik terbaru dengan Hamas bakal diselesaikan oleh Tel Aviv. Walaupun bantuan Barat datang dengan sepantas kilat kepada Tel Aviv, namun, kehadiran Iran dalam isu ini tidak boleh dipandang ringan.
Apa yang pasti, tekanan lebih berat dirasai Israel.