CANBERRA, 3 OKT – Kerajaan Australia telah mengambil langkah untuk menamatkan khidmat helikopter MRH-90 Taipan selepas beberapa minggu mengenakan sekatan penerbangan terhadap pesawat tersebut.
Penamatan khidmat helikopter tersebut diputuskan oleh kerajaan Australia selepas mengambil kira keselamatan dan nyawa anggota tentera negara itu.
“Keutamaan tertinggi kerajaan adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita,” kata Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
Sebelum ini, Australia tidak membenarkan sebarang operasi helikopter MRH-90 selepas insiden nahas udara yang melibatkan pesawat itu pada 28 Julai lalu.
Ketika kejadian, sebuah helikopter MRH-90 yang dioperasikan oleh Tentera Darat Australia terhempas ketika melaksanakan Eksesais Talisman Sabre, latihan ketenteraan bilateral terbesar dengan Amerika Syarikat.
Seramai 4 orang anak kapal disahkan terkorban.
Susulan dari insiden tersebut, Australia telah menggantung operasi Taipan, untuk kali kedua pada tahun 2023.
Penggantungan operasi MRH-90 yang pertama untuk tahun ini dibuat pada Mac lalu, selepas satu nahas udara melibatkan helikopter yang sama dalam satu latihan ketenteraan di New South Wales.
Helikopter tersebut dibenarkan beroperasi pada 6 April selepas pihak kerajaan dan tentera telah melakukan penilaian serta langkah mengatasi risiko penerbangan operasi Taipan. Pada ketika itu, Canberra telah memutuskan untuk menamatkan helikopter ini pada tahun hadapan, lebih awal dari rancangan asal iaitu 2037.
Pun begitu, penamatan serta merta oleh Australia menunjukkan negara benua itu tidak berpuas hati dengan MRH-90.
MRH-90 mula beroperasi dalam tentera Australia pada tahun 2004. Semenjak itu, helikopter ini berhadapan dengan pelbagai kontroversi.
Pejabat Audit Kebangsaan Australia sebelum ini mendedahkan MRH-90 telah dipilih dan menolak saranan perolehan helikopter Black Hawk.
Laporan itu turut menyatakan Taipan mempunyai masalah dari segi reka bentuk dan khidmat sokongan yang sekaligus jejaskan kesiagaan pasukan tentera negara benua itu.
Selain daripada itu, isu kos yang tinggi turut memberi kesan negatif kepada pengoperasian pesawat itu.
Semenjak tahun 2010, operasi helikopter keluaran NATO Helicopter Industries (NHI) itu telah digantung sebanyak 5 kali oleh kerajaan Australia. Ini berikutan beberapa siri nahas dan kegagalan operasi helikopter itu.
Selain Australia, Norway turut menghentikan operasi MRH-90 dengan serta merta. Pada pertengahan 2022, negara Scandinavia itu telah menamatkan kontrak yang dimeterai dengan NHI semenjak 2001.
Ini berikutan masalah yang dihadapi dalam mengoperasikan NH-90. MRH-90 merupakan designasi Australia untuk NH-90. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Australia