Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Iran mahu tubuh satu skuadron jet tempur guna pesawat sendiri

#TeknologiPertahanan: Iran mahu tubuh satu skuadron jet tempur guna pesawat sendiri

by M.Daim

TEHRAN, 26 SEPT – Tentera Udara Iran (IRIAF) bakal mengoperasikan satu skuadron jet tempur dengan menggunakan teknologi dan keluaran industri pertahanannya sendiri.

Perkara tersebut disuarakan oleh Panglima Tentera Udara Iran, Brigedier Jeneral Hamid Vahedi.

Menurut beliau, jet pejuang Kowsar yang dihasilkan oleh Iran akan mengikut jejak langkah Saeqeh, yang juga hasil produk pertahanan Negara Teluk itu.

“Satu skuadron Saeqeh telah pun berjaya dibina dan ia merupakan jet pejuang yang bagus,

“Sekarang, pembangunan Kowsar sebagai pesawat tempur dan pengebom sedang memasuki fasa akhir,

“Pada masa hadapan, satu skuadron Kowsar akan dibentuk di bawah IRIAF,” kata Hamid seperti yang dilaporkan oleh media Iran.

F-5 tinggalan era sebelum Revolusi Iran menjadi platform pembangunan jet pejuang oleh industri pertahanan Tehran.

Saeqeh dan Kowsar merupakan jet pejuang yang dihasilkan oleh Iran Aircraft Manufacturing Industrial Company (HESA).

Kedua-dua jet pejuang ini dibangunkan daripada teknologi jet pejuang Northrop F-5, yang pernah digunakan oleh negara itu sebelum berlakunya Revolusi Iran pada 1979.

Kejatuhan pemerintahan Shah Iran pada ketika itu telah menyisihkan Iran dari dunia antarabangsa.

Pun begitu, Iran menggunakan kepakaran dan kemahiran yang sedia ada untuk memastikan industri pertahanannya mampu untuk menampung operasi tentera.

Saeqeh keluaran Iran Aircraft Manufacturing Industrial Company (HESA) telah membentuk satu skuadron dalam perkhidmatan IRIAF.

Selain daripada itu, industri pertahanan negara itu telah menghasilkan pelbagai produk dan ada diantaranya telah digunakan oleh kuasa besar.

Sebagai contoh, dron kamikaze Shaheed-136 telah dibeli oleh Rusia bagi mengisi kelompongan kekuatan Moskow dalam mengasak Kyiv.

Pun begitu, industri pertahanan Iran telah lama tersekat berikutan program nuklear yang sedang dijalankan oleh negara itu.

Tambahan pula, industri pertahanan Iran dilihat mampu untuk menampung pengoperasian F-14 Tomcat yang sinonim dengan Top Gun. Ini sekaligus menjadikan negara itu sebagai satu-satunya pengguna Tomcat pada masa kini.

Akan tetapi, beberapa siri tangkapan telah berlaku di serata dunia yang menunjukkan operasi industri pertahanan Iran bergantung dengan kegiatan penyeludupan. Lazimnya, kegiatan penyeludupan ini, menurut Barat, melibatkan jaringan operasi perisikan Iran di serata dunia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?