MANILA, 27 SEPT – Pasukan Pengawal Pantai Filipina (Philippine Coast Guard, PCG) telah membuka sekatan terapung yang dipasang oleh China di Terumbu Scarborough (Scarborough Shoal)
Pihak PCG dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja membuang sekatan dilaksanakan sebaik sahaja pihaknya menerima arahan dari Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan pihak National Task Force for the West Philippine Sea.
“Sekatan yang dipasang oleh China telah memberikan bahaya kepada operasi pelayaran dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa,
“Ia turut menghalang nelayan Filipina untuk mencari rezeki di Scarborough Shoal.
“Malah, kawasan ini merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina,” kata jurucakap PCG, Commodore Jay Tarriela.
Beliau turut menegaskan pemasangan halangan oleh China jelas melanggar kedaulatan dan undang-undang Filipina.
“Langkah untuk membuang sekatan ini selari dengan undang-undang Filipina dan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu,p pihak PCG mendedahkan tindakan Pasukan Pengawal Pantai China (China Coast Guard) dan Militia Maritim China memasang sekatan di Scarborough Shoal bagi menghalang aktiviti perikanan nelayan Filipina.
Tindakan oleh CCG dan Militia Maritim China mengundang kritikan daripada pihak kerajaan Filipina.
Jabatan Hubungan Luar Filipina menegaskan kawasan pertikaian tersebut adalah milik Filipina. Ia berdasarkan keputusan timbang tara antarabangsa yang dibuat pada tahun 2016.
“Tindakan oleh China telah menjejaskan kelangsungan hidup masyarakat nelayan Filipina,
“Perkara ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa terutamanya UNCLOS dan keputusan mahkamah timbang tara,,: kata jurucakap Jabatan Hubungan Luar Filipina, Teresita Daza. – airtimes.my