Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Pembinaan MAWILLA 4 tingkat pengawasan Beting Patinggi Ali

#Pertahanan: Pembinaan MAWILLA 4 tingkat pengawasan Beting Patinggi Ali

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Sidang Majlis Keselamatan Negara telah memperakukan keperluan penubuhan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan keselamatan perairan negara di medan timur, khususnya di wilayah Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, berdasarkan kajian semasa, Bintulu dinilai sebagai lokasi yang paling sesuai untuk membangunkan sebuah Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu.

“Pilihan Bintulu untuk menempatkan MAWILLA 4 ini adalah berdasarkan lokasi strategik dari segi kedudukan dan pemusatan operasi maritim di Laut China Selatan serta bagi meningkatkan pengawasan Zon Ekonomi Ekslusif negara seperti Beting Patinggi Ali,

“Buat masa ini pangkalan TLDM yang terhampir dengan Beting Patinggi Ali adalah Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu,

“Pada kelajuan 12 knot, kapal-kapal TLDM dari Teluk Sepanggar akan mengambil masa 19 jam untuk sampai ke Beting Patinggi Ali, berbanding dengan hanya 9 jam dari Bintulu pada kelajuan yang sama,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehingga kini, Mohamad menjelaskan, permohonan rasmi dan skop keperluan pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum dimajukan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya.

“Pembangunan MAWILLA 4 dirancang dilaksanakan dalam 2 fasa iaitu fasa pertama merangkumi proses perolehan tanah seluas 200 ekar di kawasan Samalaju Industrial Park (SIP), Tanjung Bogam di Bintulu.

“Manakala, fasa kedua ialah pembangunan Pangkalan MAWILLA 4 yang melibatkan pembangunan infrastruktur laut dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, melihat kepada keperluan kritikal penubuhan MAWILLA 4 ini, pihaknya akan memberikan komitmen yang padu dalam merealisasikan pembangunan tersebut demi keselamatan perairan di negeri sarawak.

Pada Jun lalu, Mohamad memaklumkan, kerajaan telah meluluskan pembangunan MAWILLA 4 di Sarawak adalah hasil penilaian strategik berpusat untuk melindungi sumber negara serta mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing.

Tambahnya, pembangunan tersebut adalah tanda keprihatinan kerajaan sebagai langkah untuk mewujudkan keupayaan kritikal bagi aspek pertahanan maritim khususnya di perairan Sarawak. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply