Home Pertahanan dan Keselamatan Keusangan aset hakis keupayaan TLDM, negara berisiko kehilangan wilayah maritim

Keusangan aset hakis keupayaan TLDM, negara berisiko kehilangan wilayah maritim

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 APR – Keupayaan dan kekuatan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kian terhakis serta diancam dengan keusangan aset.

Kebimbangan tersebut telah disuarakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dalam perutusan beliau bersempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, hari ini.

“TLDM kini berhadapan dengan cabaran keusangan aset dan keupayaan tempur armada yang semakin terhakis akibat usia aset yang meningkat,

“Keadaan ini dilihat tidak selari dengan bentuk ancaman dan perkembangan semasa di lapangan,” katanya.

Menurut Panglima Tentera Laut, Malaysia yang merupakan sebuah negara maritim memerlukan sebuah angkatan laut yang berkeupayaan dalam melindungi kedaulatan wilayah dan kepentingan maritimnya.

“Hakikatnya, tanpa sebuah angkatan laut yang kredibel dan berkeupayaan, negara akan menghadapi kesukaran dalam menangani ancaman maritim dan mengekalkan kawalan ke atas sempadan maritim negara dengan sempurna,

“(Keadaan ini) yang seterusnya berpotensi untuk mengakibatkan negara kehilangan wilayah maritimnya serta mewujudkan ketegangan dengan negara serantau.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, tentunya kita tidak boleh mengambil risiko tersebut,” tegas Abdul Rahman.

Jelasnya, perkara ini perlu diambil perhatian kerana keadaan geopolitik dunia serta serantau kerap berubah dan menimbulkan ancaman baharu.

“Walaupun negara kita masih aman merdeka, namun usaha-usaha untuk mempertahankannya tidak boleh diambil mudah,

“Landskap pertahanan yang telah berubah dan semakin mencabar ini menuntut agar pertahanan negara turut diperlengkapkan dengan sewajarnya,” ujar beliau.

Beliau menambah, keusangan aset dan keupayaan tempur armada yang kian terhakis tidak selari dengan bentuk ancaman serta perkembangan semasa di lapangan.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan TLDM akan melancarkan Penjajaran Pelan Transformasi 15-to-5 pada Pameran Defence Services Asia (DSA) 2024.

“Saya percaya, sekiranya pelan ini dilaksanakan seperti mana yang telah direncanakan, TLDM pasti akan mempunyai keupayaan yang diperlukannya kelak,

“Perubahan yang ketara juga akan dapat dilihat terutamanya menerusi perolehan aset-aset baharu seperti Littoral Combat Ship (LCS), Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) dan Multi Role Support Ship (MRSS) yang telah sekian lama tertangguh,

“Perolehan aset-aset ini sudah tentunya akan memperkukuh dan memperkasakan lagi barisan hadapan pertahanan negara,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM

Related Articles

Leave a Reply