Home Semasa #Semasa: Mayat kesembilan tragedi kepala air jeram Air Putih ditemukan

#Semasa: Mayat kesembilan tragedi kepala air jeram Air Putih ditemukan

by Bernama

CHUKAI, 7 Jul – Satu lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, di Chukai ditemukan pada 9.20 pagi tadi di Sektor A kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, mayat dipercayai lelaki dewasa itu dijumpai terdampar di tebing pasir, dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat berjaya dikeluarkan pada 11.20 pagi tadi.

“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk pengecaman oleh waris,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di Chukai hari ini.

Walaupun identiti berkenaan belum disahkan, polis tidak menolak kemungkinan ia mayat Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.

Hanyan berkata dengan penemuan mayat kesembilan itu, operasi SAR diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Putri Nor Fatin Karim, 14, dengan pencarian ditumpukan di sektor A.

“Pasukan SAR tetap akan menjalankan pencarian di sektor B dan C dengan dibantu orang awam dan penduduk kampung bagi mengesan Putri Nor Fatin atau sehingga menjumpai sebarang petunjuk baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata usaha pencarian seterusnya akan bermula satu kilometer dari lokasi kenderaan mangsa ditemukan dan kerja ‘sweeping’ akan dilakukan semula di sektor A.

Beliau berkata keadaan cuaca yang baik pada hari ini menyebabkan keadaan jeram kembali kepada normal dan air sungai yang semakin jernih membantu memudahkan operasi SAR termasuk kerja penyelaman.

Dalam kejadian Sabtu lepas, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dan Muhammad Fikri dikatakan pergi berkelah di jeram berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Jenazah tujuh daripada sembilan sekeluarga yang terkorban iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan pada Selasa lepas di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3, Kuantan.

Jenazah mangsa kelapan, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, pula selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibu bapa dan lima beradiknya pada Rabu.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply