Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: DBKL, PDRM dan Imigresen gempur tapak pembinaan, tahan 81 pekerja warga asing

#Keselamatan: DBKL, PDRM dan Imigresen gempur tapak pembinaan, tahan 81 pekerja warga asing

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jul – Seramai 81 orang pekerja warga asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan Siri 9/2023 di Ulu Klang Ampang, pada Khamis.

Pekerja pembinaan yang terdiri daripada 67 orang warga Bangladesh, Indonesia (10), Pakistan (3) dan seorang warga Nepal itu ditahan bagi pemeriksaan secara menyeluruh berkaitan dokumentasi perjalanan dan permit kerja yang berkaitan.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).

Pihak DBKL memaklumkan, operasi ini dijalankan bagi melaksanakan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang masing-masing.

“Pemeriksaan di kawasan tapak pembinaan ini dibuat secara menyeluruh di bahagian dalam dan luar pembinaan bagi menentukan tahap kebersihan, keselamatan dan permit kebenaran,

“Selain itu, ia juga bagi memastikan segala peraturan di tempat pembinaan senantiasa dipatuhi oleh kontraktor dan pemilik syarikat,” jelas DBKL dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, DBKL juga turut mengeluarkan beberapa notis berkaitan pelbagai kesalahan.

“DBKL mengeluarkan 6 notis kompaun di dalam kawasan pembinaan melibatkan 3 notis kompaun di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 berkaitan kesalahan mendirikan struktur tanpa kebenaran,

“2 notis kompaun berikutan terdapatnya tempat pembiakan nyamuk hasil dari pemeriksaan bersama Pegawai Kesihatan JKAS DBKL melalui pungutan jentik-jentik di bawah kesalahan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975,

“Dan 1 notis kompaun di bawah Undang-undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 semasa pemeriksaan terhadap kenderaan berat yang tidak mempunyai permit mengangkut bahan binaan,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah DBKL, operasi bersepadu ini akan diteruskan mengikut kawasan parlimen di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply