Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: A400M cipta rekod penerbangan tanpa henti lebih 20 jam

#TeknologiPertahanan: A400M cipta rekod penerbangan tanpa henti lebih 20 jam

by M.Daim

LONDON, 9 JUL – Tentera Udara Diraja (Royal Air Force, RAF) United Kingdom (UK) telah berjaya mencipta rekod penerbangan terjauh dengan menggunakan pesawat Airbus A400M.

Menurut pihak RAF, penerbangan bersejarah tersebut bermula dari Pangkalan Udara RAF Brize Norton ke Guam pada 3 Julai lalu.

Jelasnya, penerbangan tersebut merupakan sebahagian daripada penglibatan UK dalam Exercise Mobility Guardian 23.

“Penerbangan tanpa henti selama 20 jam 36 minit tersebut melibatkan sebanyak 3 kali pengisian minyak di udara,” kata RAF dalam satu kenyataan.

A400M merupakan pesawat pengangkut taktikal yang dikeluarkan oleh syarikat Airbus Defence and Space.

Merujuk kepada laman rasmi Airbus, sebanyak 118 buah A400M telah dihasilkan dan 60 pesanan sedang dilaksanakan.

“A400M mempunyai keupayaan untuk membawa muatan strategik. Pesawat ini mampu untuk mendarat di kawasan taktikal seperti landasan terbang yang kecil,

“Selain daripada itu, A400M mampu untuk menjadi pesawat penangki di barisan hadapan,” jelas Airbus yang menjelaskan pesawat ini mampu untuk menggalas 3 tugas yang berlainan.

Sementara itu, RAF Air Mobility Force menyatakan penerbangan bersejarah itu melibatkan jarak sejauh 8,000 batu (12,874.75 kilometer).

Berdasarkan data teknikal oleh Airbus, jarak penerbangan maksimum A400M adalah 8,900 km.

Penerbangan A400M dari UK ke Guam memakan masa 20 jam 36 minit dan menjangkaui jarak 12,874 kilometer.

Pada ketika ini, A400M sedang dioperasikan oleh 8 buah negara, termasuk Malaysia. 2 negara lain – Kazakhstan dan Indonesia akan menanti ketibaan pesawat pengangkut taktikal ini dalam beberapa tahun akan datan.

Malaysia merupakan negara pelanggan pertama bukan anggota NATO untuk mengoperasikan pesawat tersebut.Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kali pertama menerima A400M pada Mac 2015 dan pesawat ke-4 (terakhir) pada tahun 2017.

Dalam TUDM, pesawat ini telah digunakan untuk pelbagai operasi mengangkut dan strategik. Antaranya penghantaran bantuan kemanusiaan ke luar negara seperti Gempa Bumi Palu, Indonesia (2018) dan Turkiye pada awal 2023.

Malah, pesawat ini turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan operasi membendung penularan wabak COVID-19 melalui penghantaran Hospital Medan ke wilayah Sabah dan Sarawak.

Walaupun pesawat ini dihasilkan di Eropah, ia membawa impak tersendiri kepada industri tanah air.

Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), pembuat komponen komposit pesawat tanah air merupakan pembekal Airbus Tier-2 dan telah diberikan pengiktirafan oleh syarikat Eropah itu.

Baru-baru ini, satu lagi syarikat tempatan, Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) diberikan kepercayaan oleh Airbus untuk menyelenggara enjin TP400-D6 melalui pemeteraian surat perjanjian (LOA) di Pameran LIMA 2023 lalu.

GTA merupakan syarikat pertama di luar Eropah untuk diberikan kepercayaan tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply