KUANTAN, 7 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) melaksanakan Eksesais THALAY LAUT Siri 24/23 di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) Kuantan dan perairan Laut China Selatan.
Pihak Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, eksesais bilateral ini telah bermula sejak 2 Julai lalu dan akan berakhir esok.
Menurutnya, eksesais dwitahunan yang dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) merangkumi Fasa Pelabuhan, Fasa Laut serta Fasa Penutup ini adalah bagi meningkatkan kerjasama ketenteraan antara TLDM dan TLDT dalam menjalankan operasi gabungan terhad.
Jelas MPA barat, eksesais kali ini melibatkan 2 buah kapal TLDM iaitu KD GAGAH SAMUDERA dan KD PERKASA bersama sebuah pesawat Fennec serta Fast Combat Boat termasuk sebuah kapal TLDT, HTMS PATTANI.
“Fasa Pelabuhan bermula dengan ketibaan HTMS PATTANI di Tambatan Pangkalan Kuantan pada 2 Julai lalu,
“Kemudian, kunjungan hormat oleh delegasi TLDT diketuai oleh Rear Admiral Warapat Rajatasankha, Commander of Patrol Squadron TLDT ke atas Panglima Wilayah Laut 1 (PANGWILLA 1), Laksamana Muda Farizal Myeor,” jelas MPA Barat dalam hantaran di laman Facebook rasminya.
Tambahnya, sepanjang fasa ini, beberapa aktiviti yang berpotensi meningkatkan kerjasama dan kesefahaman di antara kedua-dua angkatan laut telah dilaksanakan.
“Antaranya adalah Diskusi Pegawai Operasi kapal bagi mencapai kesepakatan dalam melaksanakan evolusi di laut,
“Taklimat Pra-Pelayaran yang memberi fokus terhadap kebolehoperasian dan pematuhan prosedur standard bagi memastikan kelancaran latihan yang bakal dijalankan,” jelas hantaran itu lagi.
Selain aktiviti eksesais, Piala THALAY LAUT turut dipertandingkan di antara Blue Force dan Orange Force bagi memupuk esprit de corps di kalangan peserta melibatkan sukan badminton, bola tampar dan tarik tali.
Di samping itu juga, Majlis Resepsi turut diadakan di HTMS PATTANI yang dihadiri oleh PANGWILLA 1, Pegawai Memerintah dan Pegawai Kanan di MAWILLA 1.
Kemuncak Fasa Pelabuhan dirasai apabila PANGWILLA 1 menyempurnakan Upacara Pembukaan di Auditorium Al-Haimi, MAWILLA 1 pada 4 Julai.
Turut hadir adalah Rear Admiral Warapat Rajatasankha dan Kepten Jamalul Shafri bin Mohd Shukor TLDM, AKS Peperangan MAWILLA 1.
Taklimat Eksesais juga turut disampaikan oleh Kdr Ahmad Shahir Hasnan TLDM selaku Exercise Planner THALAY LAUT 24/23 semasa upacara ini. -airtimes.my