Home Pertahanan dan Keselamatan #PERTAHANAN: PERNAMA bangunkan pasaraya, tawar pelbagai kemudahan kepada warga dan veteran ATM

#PERTAHANAN: PERNAMA bangunkan pasaraya, tawar pelbagai kemudahan kepada warga dan veteran ATM

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=dxRISDCJgKc[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 6 Jul – Sebuah lagi kompleks dibawah Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dijangka memulakan operasi pada tahun 2026.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Tepian Tekpi Pernama ini bakal memberi pelbagai kemudahan kepada warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

“Hari ini bertujuan melaksanakan program pecah tanah adalah untuk membangunkan satu pembangunan dari segi pelbagai kemudahan. Induknya adalah PERNAMA itu sendiri, dan terdapat juga beberapa keperluan sebagai pusat ekonomi kepada warga MINDEF,

“Pembangunan bakal dimulakan pada penghujung tahun ini atau awal Januari tahun 2024,

“Dengan kos pembangunan sebanyak RM75 juta ini, MINDEF berharap ia dapat meningkatkan taraf perkhidmatan PERNAMA itu kepada warga ATM,

“Dan dalam masa yang sama, ia juga turut memberi kemudahan kepada perkhidmatan awam dan penduduk di sekitar Tepian Tekpi ini,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Tepian Tekpi Pernama, di Jalan Padang Tembak, hari ini.

Bangunan ini merupakan sebuah kompleks PERNAMA bercirikan reka bentuk kontemporari dan moden, menawarkan pelbagai fasilitasi antaranya pasaraya, restoran pandu lalu, anjung selera, ruang perniagaan termasuk kepada usahawan veteran ATM – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari

 

Selain dari menawarkan kemudahan kepada mereka yang masih berkhidmat, beliau berkata, Tepian Tekpi ini juga memberi peluang kepada veteran ATM untuk mengusahakan perniagaan dengan penawaran sewaan ruang niaga pada harga berpatutan.

“Tepian Tekpi ini juga akan memberikan kemudahan perniagaan kepada veteran ATM. Saya yakin veteran ATM akan merebut peluang untuk turut serta dalam perniagaan ini,

“Dengan adanya pasaraya melalui PERNAMA nanti, sudah pasti lebih banyak produk-produk hasil keluaran dari veteran ATM dapat dipasarkan dan dalam masa yang sama ia juga dapat meningkatkan mutu sara hidup serta ekonomi golongan tersebut itu sendiri,

“Saya harap apa yang kita rancangkan ini dapat kita bangunkan dengan sempurna. Menjelang tahun 2026, maka Tepian Tekpi ini akan memulakan operasinya,” tambahnya lagi.

Adly Zahari turut memaklumkan, Tepian Tekpi Pernama ini dibangunkan di atas tanah berkeluasan 2.49 ekar melalui pajakan selama 30 tahun dengan kadar RM436,000 setahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini PERNAMA telah berkerjasama dengan syarikat-syarikat niaga seperti 7-Elevent dan BHP untuk melahirkan komuniti veteran ATM yang berdaya saing melalui program latihan keusahawanan.

“Setakat ini, PERNAMA telah berkejasama dengan hampir 100 cawangan 7-Eleven di seluruh negara untuk program latihan veteran ATM,

“Dan untuk pembangunan Tepian Tekpi ini juga, PERNAMA akan melihat serta memberikan peluang-peluang lain untuk melibatkan golongan tersebut,” ujarnya lagi.

PERNAMA merupakan sebuah Perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan ia ditubuhkan untuk memberi khidmat kepada warga ATM dan keluarga.

PERNAMA turut mewujudkan Akedemi Peruncitan PERNAMA di PERHEBAT bagi membantu pesara ATM membina peluang kerjaya kedua selepas perkhidmatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply