Home Semasa Vape: Daftar dalam masa sebulan atau akan didenda – Kementerian Kewangan

Vape: Daftar dalam masa sebulan atau akan didenda – Kementerian Kewangan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 2 APRIL –  Pemain industri vape, khususnya pengilang tempatan yang mengeluarkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin, diberi tempoh bermula 1 hingga  30 April 2023 untuk mendaftarkan aktiviti pengilangan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata pendaftaran awal dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh mengelak pengilang dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar.

“Pendaftaran awal ini akan memastikan pematuhan industri yang menyeluruh serta pengutipan cukai berjalan lancar menjelang Mei 2023,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem MyExcise.

Berkuat kuasa 1 April 2023, melalui pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dengan pelaksanaan duti eksais ini, Kementerian Kewangan berkata kerajaan akan terus memastikan semua peraturan dan kawalan barangan berduti eksais oleh JKDM dapat dipertingkatkan untuk mengelak ketirisan hasil negara.

“Malah, seperti yang telah dijanjikan dalam pengumuman Belanjawan 2023, separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” menurut kementerian itu. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply