Home Semasa Singapura tambak Batu Puteh beri kesan kepada sempadan maritim negara – Ahli Parlimen Mersing

Singapura tambak Batu Puteh beri kesan kepada sempadan maritim negara – Ahli Parlimen Mersing

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas hari ini menyatakan tindakan kerajaan Singapura untuk menambak Pulau Batu Puteh akan memberikan kesan kepada sempadan maritim negara.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

“Setiap tambakan di sekitar Pulau Batu Puteh dikhuatiri akan memberikan kesan sampingan khasnya terhadap titik pangkal dan persempadanan maritim negara selain kepada alam sekitar,

“Tambahan pula, status perairan sekitar Pulau Batu Puteh iaitu Tubir Selatan masih jadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura,” kata ahli parlimen Perikatan Nasional itu.

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan kerajaan untuk menambak dan tambah nilai strategik Batuan Tengah.

“Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan dapat juga menambak Batuan Tengah dan  berusaha meningkatkan nilai strategik Batuan Tengah,” katanya semasa sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa yang sama, Islahuddin menyokong usaha kerajaan bagi menyemak isu-isu dan semakan perundangan dalam isu Pulau Batu Puteh.

Isu Pulau Batu Puteh sebelum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramara  di Dewan Rakyat.

“Isu tuntutan hak Pulau Batu Putih perlu diteliti semula dengan cermat oleh Kerajaan Perpaduan dengan mengambil kira segala aspek perundangan agar ia tidak mengundang masalah berbalik kepada negara,

“Syor-syor ditemukan  oleh pasukan petugas khas mengenai semakan perundangan diharapkan dapat menjadi kesedaran penting Peguam Negara dalam menentukan tindakan seterusnya dengan keputusan eksekutif,

“Justeru, saya berharap agar Kabinet Perpaduan ini dapat bersepakat untuk meneruskan perjuangan tuntutan hak kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih, Batuan Tengah serta Tubir Selatan,” kata ahli parlimen Pakatan Harapan.

Pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk mengadakan rundingan terperinci terhadap isu penambakan Pulau Batu Puteh.

Beliau membangkitkan perkara tersebut semasa mengadakan lawatan rasmi dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply