Home Semasa Penangguhan projek monorel Putrajaya punca sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai

Penangguhan projek monorel Putrajaya punca sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai

by Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Penangguhan projek monorel Putrajaya menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu di bandar itu belum tercapai dan merupakan pembaziran sekiranya infrastruktur dibangunkan tidak dimanfaatkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2.

Menurut LKAN, penangguhan pembangunan mod pengangkutan monorel yang merupakan tulang belakang sistem pengangkutan awam di Putrajaya juga memberi kesan kepada perkhidmatan bas dan penggunaan fasiliti berkaitan.

“Sebaliknya, kerajaan terpaksa menyediakan TLK (Tempat Letak Kereta) bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan core dan perumahan,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, pelaksanaan projek monorel tersebut meliputi dua laluan iaitu Laluan 1 sepanjang 13.2 kilometer (km) manakala Laluan 2 sepanjang 6 km selain stesen monorel yang dibina di Terminal Putrajaya Sentral Presint 7 tetapi masih belum siap sepenuhnya.

Laporan itu mendedahkan kerja pembinaan infrastruktur monorel tersebut ditangguhkan pada 2004, bagaimanapun pihak Audit tidak dapat mengesahkan justi¦kasi penangguhan projek kerana tiada dokumen sokongan diperoleh.

“Lawatan fizikal Audit pada 16 Ogos 2022 mengesahkan bahawa sebahagian infrastruktur seperti kerangka asas bagi terowong, tiang-tiang bagi landasan dan jambatan untuk monorel telah dibina,” menurutnya.

Laporan itu menyatakan infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan telah siap dibangunkan, namun hanya tiga mod pengangkutan digunakan sepenuhnya.

Empat mod pengangkutan yang siap dibangunkan adalah Express Rail Link (ERL), bas, pengangkutan air dan rangkaian pejalan kaki dan basikal manakala tiga mod digunakan sepenuhnya adalah ERL, bas dan rangkaian pejalan kaki dan basikal.

“Pembangunan infrastruktur bagi mod pengangkutan LRT (Transit Aliran Ringan)/monorel belum siap sepenuhnya manakala infrastruktur bagi mod pengangkutan tram belum dibangunkan,” menurutnya.

Justeru, Audit mengesyorkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) (yang kini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) mengkaji semula pelan pembangunan agar dapat diselaraskan dengan perubahan konsep pembangunan Putrajaya supaya kemudahan infrastruktur bersesuaian dapat disediakan dan berfungsi mengikut perancangan.

Laporan itu turut mengesyorkan KWP, Kementerian Pengangkutan dan PPj menetapkan hala tuju penggunaan infrastruktur yang dibangunkan bagi memberi manfaat kepada rakyat dan mengelakkan pembaziran.- BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply