Home Semasa Anwar dapat sokongan majoriti usul undi percaya sebagai Perdana Menteri

Anwar dapat sokongan majoriti usul undi percaya sebagai Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas usul undi percaya terhadapnya diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, hari ini.

Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengumumkan keputusan berkenaan selepas usul itu dibahaskan oleh 12 ahli Parlimen antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut); Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Lim Guan Eng (DAP-Bagan); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor); Rafizi Ramli (PH-Pandan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Fadillah memaklumkan, usul itu bertujuan untuk menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri demi kejayaan negara serta kesejahteraan rakyat.

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar dari Pakatan Harapan (PH), yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang. Ia merangkumi daripada PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 1, PBM 1, dan Bebas 2 kerusi.

Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang juga blok pembangkang.

Sementara itu pada sesi pembukaan Dewan Rakyat, Johari yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas memperoleh undi sokongan tertinggi daripada ahli Parlimen.

Selain itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang dari DAP Alice Lau dilantik sebagai timbalan Yang dipertua Dewan Rakyat pada penggal pertama sidang Parlimen ke-15.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply