Home Semasa Dana RM600 bilion: Tiada apa yang nak disorokkan – Tengku Zafrul

Dana RM600 bilion: Tiada apa yang nak disorokkan – Tengku Zafrul

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung salah guna dana RM600 bilion.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh sekiranya dihubungi oleh pihak SPRM.

“Tiada apa yang nak disorokkan. Setakat ini, SPRM belum menghubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis.

Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan bahawa SPRM akan memanggil bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan mengenai salah guna dana RM600 bilion itu.

Selasa lalu, SPRM dilaporkan sudah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan perkara tersebut, namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu terbabit.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply