Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Kerajaan gabungan: Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN – Muhyiddin

Kerajaan gabungan: Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Perikatan Nasional (PN) hari ini menegaskan tidak pernah memberi mandat kepada salah seorang pemimpin kanan parti gabungan itu berhubung isu untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Sri Takiyuddin Hassan, untuk bertindak sedemikian.

“Saya sebagai Pengerusi PN tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Sri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU ke-15,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata, PAS tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan dalam PRU-15, 19 November ini.

“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN,

“Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan,”jelasnya malam tadi.

Dalam masa sama, Takiyuddin yang juga calon PN Parlimen Kota Bharu menegaskan, gabungan itu tidak akan menerima kerjasama dengan PH.

Setiausaha Agung PAS turut berkata, kesediaan untuk bekerjasama dengan BN itu turut pernah disuarakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Pengerusi PN.

Pada 15 Oktober lalu, Abdul Hadi berkata PAS mengambil keputusan menangguhkan kerjasama dengan BN kerana gabungan itu didapati mempunyai ‘kekeruhan’.

Katanya, ini kerana kes penerima rasuah membabitkan pemimpin UMNO belum selesai.

Oleh itu PAS membuat keputusan untuk menghadapi PRU-15 bersama sekutunya Bersatu dalam PN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yakin PN mampu membentuk kerajaan persekutuan dan negeri tanpa melibatkan pihak lain.

“Tujuan PN bertanding dalam PRU ke-15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH,

“Saya berdoa dengan izin Allah dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan dan negeri yang terlibat dalam PRU ke-15,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply