Home Pertahanan dan Keselamatan PRU15: ATM sedia dikerah bantu SPR jika banjir landa 19 Nov – Panglima Angkatan Tentera

PRU15: ATM sedia dikerah bantu SPR jika banjir landa 19 Nov – Panglima Angkatan Tentera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR , 15 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia memberi bantuan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan perjalanan proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini berjalan lancar.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menjelaskan, walaupun ATM tidak terlibat secara langsung dalam proses pengundian, namun pihaknya bersedia mengaturgerakkan anggota sekiranya diperlukan.

“Atur gerak ATM ini cuma untuk membantu jika perkara tidak diingini berlaku seperti bencana alam atau banjir sahaja, maka itu kita (ATM) akan atur buat pergerakan,

“Kita cuma membantu SPR (dalam hal bencana alam) sebab kita juga ada keperluan lain, kita bukan sebagai barisan hadapan, kita di barisan belakang sahaja,” katanya selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (DTHO), hari ini.

Sementara itu, Affendi berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal serta komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota tentera bersama pasangan pada hari ini.

“Apa yang saya dapati, mereka telah memberi respons untuk pengundian awal dan telah datang beratur sejak jam 8 pagi,” ujarnya.

Terdahulu, Affendi ditemani isterinya, Puan Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah kira-kira jam 10.30 pagi hadir bagi membuang undi di saluran satu di sekolah berkenaan yang merupakan antara 10 pusat pengundian awal di Kuala Lumpur.

Turut hadir sebagai pengundi awal di pusat tersebut ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan isteri.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap cuaca baik di seluruh negara akan membantu peratusan tinggi keluar mengundi dalam kalangan tentera.

Proses pengundian awal bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

Mengikut perangkaan SPR sejumlah 117,473 anggota dan pegawai ATM di seluruh negara serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab dalam pengundian awal hari ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply