Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Perikatan Nasional tolak PRU15 ketika musim banjir – Muhyiddin

Perikatan Nasional tolak PRU15 ketika musim banjir – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 OKT – Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri pantai timur.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

Sehubungan itu, anggota Jemaah Menteri dari Parti Perikatan Nasional (PN) telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Malah, semua Ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bekas Perdana Menteri itu turut menjelaskan, kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca-pandemik.

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan,

“Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutamanya menerusi Bajet 2023,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyatakan pendirian bahawa tidak wajar dan tidak perlu disegerakan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat.

Tegasnya, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply