Home Semasa Ejen kosmetik mangsa culik di Tumpat diselamatkan di Thailand

Ejen kosmetik mangsa culik di Tumpat diselamatkan di Thailand

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Ejen jualan produk kosmetik wanita, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan pihak berkuasa Thailand.

“Melalui siasatan dan kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian dan perisikan berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di negara jiran itu,

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa Thailand dan telah dibawa pulang ke Malaysia pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan sekumpulan lelaki daripada kediamannya dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.

Sementara itu Acryl Sani berkata, dalam kes tersebut seramai 7 lelaki warga tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Katanya, turut dirampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan kedutaan Malaysia di sana atas kerjasama dan bantuan dalam usaha dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa,

“PDRM juga menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply