Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 25 PATI warga Myanmar sembunyi dalam kawasan hutan diberkas

25 PATI warga Myanmar sembunyi dalam kawasan hutan diberkas

by Nurulhuda

KUALA NERANG, 29 Sept – Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng) ketika cuba meloloskan diri memasuki negara ini secara haram melalui sempadan negara Malaysia-Thailand, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku di kawasan laluan Loji Rawatan Air Kota Putra, sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd).

Menurut Markas 2 Div, pada jam 8.20, Tim Ronda yang sedang melaksanakan tugas rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan yang cuba bersembunyi di kawasan hutan berhampiran loji rawatan air.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam tersebut seramai 25 orang,

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dan 6 wanita itu berumur diantara 17 hingga 45 tahun.

Turut dirampas adalah 19 buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand bernilai RM2,893.29, 21 kad pengenalan warga Myanmar dan 27 beg galas.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan RM12,393.29,” jelas kenyataan itu.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

Tambah Markas 2 Div, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply