Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS akan umum rakan kerjasama dalam masa terdekat – Muhyiddin

PAS akan umum rakan kerjasama dalam masa terdekat – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, PAS kekal komited kepada gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Nampak dalam pertemuan itu, PAS masih komited untuk terus bersama PN. Tak ada berbangkit isu dia nak keluar, tak ada bangkit langsung,

“Dalam pertemuan itu, dia ‘reaffirm’ akan bersama-sama meneruskan kedudukannya dalam gabungan PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk pertemuannya dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin PN di kediamannya malam tadi.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan pertemuan 2 jam berkenaan amat bermakna dan banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN dalam menghadapi PRU15.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menjelaskan, tiada hasil atau keputusan dicapai dalam pertemuan Hadi dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Itu yang baiknya, dia lapor kepada saya. Tiada benda yang kita sorok, tiada hasil dari pertemuan itu,” ujarnya.

Tambahnya, usaha Abdul Hadi untuk penyatuan ummah dipuji, tetapi dari segi realiti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mungkin bekerjasama dengan UMNO.

“Ini kerana UMNO sendiri telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung parti untuk tidak menerima dan tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU,

“Jelas terbukti UMNO langsung tidak mahu bekerjasama, dan kami terima sebagai kenyataan dan bila hadapi PRU, kita akan tentang,

“Saya diberi bayangan dalam tempoh terdekat, PAS akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan UMNO,” tegasnya.

Awal bulan ini, Muktamar PAS ke-68 meluluskan 13 usul, antaranya penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada PRU15, termasuk meneruskan kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional bagi memastikan situasi satu lawan satu.

Keadaan itu menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati beberapa pemimpin dalam PN, termasuk BERSATU. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply