Home Semasa Ismail Sabri ke UAE, tumpu pelbagai bidang penting

Ismail Sabri ke UAE, tumpu pelbagai bidang penting

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 25 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 26 hingga 29 September.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Ismail Sabri turut dijadualkan bertemu Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi sempena lawatan itu.

Menurutnya, pertemuan itu adalah yang pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Sheikh Mohamed dilantik sebagai Presiden UAE pada 14 Mei lalu.

“Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin termasuk meneroka bidang kerjasama berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE,

“Antara bidang tumpuan baharu ialah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan, tenaga boleh baharu serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5-Tahun,

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dan Ummah,” jelas kenyataan itu.

Tambah Wisma Putra, Ismail Sabri juga akan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dengan fokus utama ialah prospek kerjasama antara ADNOC dan PETRONAS dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh baharu.

Pada 2021, UAE merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Manakala, untuk tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (AS$5.38 bilion) daripada RM20.65 bilion (AS$4.93 bilion) pada 2020.

Perdana Menteri akan diiringi Timbalan Menteri Luar Negeri dan pegawai kanan kerajaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply