Home Semasa Pulau Pinang pula tarik darjah kebesaran Najib

Pulau Pinang pula tarik darjah kebesaran Najib

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Ahmad Fuzi Abdul Razak menarik semula darjah kebesaran negeri, keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang dianugerahkan kepada Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini, darjah kebesaran kepada bekas Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang diberikan Sultan Selangor turut ditarik balik.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, Najib dianugerahkan DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada 2009.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan,

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan kepada beliau, keahlian beliau sebagai penyandang DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zakuan memaklumkan, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Menurut Mohd Zakuan, pembatalan dan pemansuhan keahlian itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Pada 12 September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran kepada Najib yang dianugerahkan pada 1992 dan 2004.

Selain itu, darjah kebesaran yang diberikan kepada Rosmah pada 2005 turut ditarik balik selepas disabitkan bersalah di mahkamah, sementara Najib pula dihukum penjara.

Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Haris Kasim berkata, keputusan diambil oleh Sultan Selangor berhubung penarikan darjah kebesaran itu dibuat selepas Baginda berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.

Katanya, Najib dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992.

Rosmah pula dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada 2005. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply