Home Semasa Skandal LCS: Abdul Latiff arah pegawai khasnya buat laporan polis terhadap Rafizi

Skandal LCS: Abdul Latiff arah pegawai khasnya buat laporan polis terhadap Rafizi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Satu laporan polis dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada Selasa.

Laporan tersebut dibuat oleh pegawai khasnya, Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Saya diarahkan untuk membuat laporan berkenaan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh Rafizi yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik Datuk Abd Latiff,

“Sejak 22 Ogos 2022, Rafizi telah menyiarkan 4 kenyataan fitnah dan tohmahan dalam media sosialnya bertarikh 22, 23, 25 dan 26 Ogos 2022,

“Rafizi juga menyiarkan satu video berupa fitnah dan tohmahan melalui akaun TikTok dan Instagram pada 25 Ogos lalu,

“Fitnah dan tohmahan yang dibuat Rafizi adalah bahawa Abd Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi LCS,” katanya dalam laporan yang dinyatakan kepada polis.

Beliau berkata, Rafizi berbohong kerana dia kononya bersandar kepada satu laporan forensik yang menyatakan bahawa Zainab ialah isteri kedua Abd Latiff sedangkan laporan tersebut tidak menyatakan sedemikian.

Katanya, setelah kenyataan fitnah yang disiarkan Rafizi, Abd Latiff telah memberikan penjelasan umum bahawa beliau tidak mempunyai isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tohmahan yang dicipta oleh Rafizi untuk merosakkan nama baik Abd Latiff untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Abd Latiff.

Katanya, dia percaya Rafizi telah melakukan kesalahan fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan, ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, penghinaan dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya memohon polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat dan mendakwa Rafizi dan pihak yang bersubahat dengannya untuk melakukan kesalahan tersebut,” tegasnya.

Manakala Abd Latiff dalam hantaran di media sosialnya berkata, laporan polis telah dibuat berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh Rafizi Ramli yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik saya.

“Saya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut diciptakan untuk merosakkan nama baik saya untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap saya dan menyemarakkan keresahan rakyat,

“Penyiaran dan komunikasi secara elektronik tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply