Home Semasa Skandal LCS: Jawatankuasa Kerajaan Gagal desak PM ambil tindakan segera

Skandal LCS: Jawatankuasa Kerajaan Gagal desak PM ambil tindakan segera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Jawatankuasa Kerajaan Gagal menyifatkan pendakwaan yang dikenakan terhadap Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi hari ini kerana mengadakan perhimpunan ‘Mana Kapal LCS’ adalah tindakan yang wajar dikutuk.

Sebaliknya, jawatankuasa itu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga pihak-pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang dengan kadar segera terhadap pelaku-pelaku yang terlibat dalam skandal Kapal Tempur Persisir (Littoral Combat Ship,LCS).

Tegasnya, himpunan aman adalah hak yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini, seorang lagi anak muda, Amir Abd Hadi Setiausaha Agong Parti MUDA telah didakwa dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012,

“Amir Hadi adalah individu keempat yang didakwa dibawah Akta ini. Kami ingin menekankan sekali lagi bahawa, walaupun sudah 4 anak muda didakwa, namun ia tidak sama sekali mengubah semangat dan gerak kerja untuk menegur serta menolak Kerajaan Gagal,

“Kami ingin mengingatkan kerajaan dan pihak berkuasa bahawa himpunan aman adalah hak yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan,

“Pendakwaan terhadap Amir kerana berhimpun dan menyuarakan keluhan rakyat terhadap skandal kapal LCS yang melibatkan lebih RM6 bilion wang rakyat adalah tindakan yang wajar dikutuk,” jelas jawatankuasa itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Setiausaha Agung MUDA itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan gagal memaklumkan pihak polis berkenaan perhimpunan yang diadakan pada 14 Ogos lalu di hadapan kompleks membeli-belah Sogo.

Amir Hariri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mengulas lanjut, pihak jawatankuasa menjelaskan, kerajaan kini seharusnya mencari pesalah disebalik isu kapal tersebut dan bukan menindas rakyat sendiri.

“Keutamaan kini seharusnya mencari penyangak di belakang isu LCS,

“Bukan intimidasi berterusan terhadap anak muda apatah lagi rakyat biasa yang hanya mempraktikkan hak berhimpun serta kebebasan bersuara yang telahpun dijamin perlembagaan,

“Pendakwaan Amir hari ini tidak akan menyekat suara rakyat. Kami tidak akan berganjak dan akan terus #Lawan,” tegas mereka.

Pada 14 Ogos lalu, jawatankuasa ini telah mengadakan Protes Mana Kapal LCS di pusat membeli-belah Sogo.

Protes yang diadakan pada jam 2 petang itu turut dihadiri ahli parti MUDA, wakil-wakil parti pembangkang termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak Howard Lee Chuan How serta peguam juga aktivis Siti Kassim turut hadir dalam protes jalanan itu.

Mereka menggesa agar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien agar meletakkan jawatannya kerana kegagalan menyelesaikan isu tersebut.

Antara yang dituntut diambil tindakan segera termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply