Home Diskusi Seminar Maritim Kebangsaan angkat martabat Malaysia sebagai negara samudera

Seminar Maritim Kebangsaan angkat martabat Malaysia sebagai negara samudera

by M.Daim

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maritim merupakan satu perkara yang tidak boleh dinafikan lagi. Namun begitu, status ini tidak bermakna sekiranya tiada kesedaran terhadap hal ehwal maritim pada setiap peringkat.

Bagi memenuhi matlamat tersebut, Pusat Strategi Maritim dan Sejarah (PUSMAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Institut Oseanografi Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Hal Ehwal maritim, Kementerian Luar negeri telah menganjurkan Seminar Maritim Kebangsaan (SMK) 2022 pada akhir Julai lalu.

Antara barisan panelis yang hadir memberikan ceramah pada sesi Seminar Maritim Kebangsaan 2022. Foto: TLDM

Seminar ini merupakan kali pertama diadakan di pantai timur Malaysia dan bertujuan untuk membentuk kesedaran terhadap isu-isu hal ehwal maritim.

Menurut Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, seminar ini turut meningkatkan kerjasama di antara agensi pemegang taruh yang hadir.

“Ia sesuai dengan konsep Whole of Government yang diadaptasi oleh kerajaan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Konsep Whole of Government, Whole of Society (Wogos) merupakan antara perkara yang seringkali dibangkitkan pada mutakhir ini dalam menyentuh penglibatan semua pihak dan lapisan masyarakat dalam hal keselamatan negara.

Antara perkara menarik mengenai seminar ini adalah perkongsian pengalaman dan pendapat oleh panelis. Antaranya Laksamana Pertama Yusne Mokhtar, Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan yang mewakili TLDM yang menyentuh Keselamatan Maritim.

Seminar Maritim Kebangsaan 2022 yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semua pihak terhadap hal ehwal samudera negara. Foto: TLDM

Sementara itu, Professor Wan Izatul Asma Wan Talaat mewakili UMT berkongsikan tentang Tadbir Urus Lautan. Kementerian Luar Negeri pula diwakili oleh Shaharuddin Onn yang menjelaskan tentang dasar dan polisi hubungan antarabangsa dalam hal ehwal maritim negara.

Seminar ini turut menyaksikan Majlis Pelancaran Buku “Malaysia a Maritime Nation Agenda: Charting The Passage”. Buku ini dilancarkan secara bersama oleh Profesor Dr Marinah Mohd Ariffin, Timbalan Naib Canselor yang mewakili Naib Canselor UMT dan Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain, Panglima Wilayah Laut 1. Buku ini dihasilkan dengan kerjasama PUSMAS TLDM dan Institut Oseanografi Sekitaran, UMT. Buku ini adalah manifestasi kejayaan National Maritime Conference 2019 yang dianjurkan semasa LIMA’19 lalu.

Pelancaran buku “Malaysia a Maritime Nation Agenda Charting The Passage” oleh Laksamana Muda Dato’ Zulhelmy (dua dari kiri) dan Profesor Dr. Marinah (tiga dari kiri). Foto: TLDM

Dalam ucapan penutup seminar, Panglima Wilayah 1 menyatakan antara matlamat seminar ini adalah untuk mengangkat agenda dan martabat Malaysia sebagai sebuah negara maritim.

“Agenda ini mula diangkat semula semenjak National Maritime Conference 2019 dan kembali mendapat perhatian khusus dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP),

“Seminar ini juga merupakan prelude kepada National Maritim Conference 2023 yang bakal dilaksanakan bersempena LIMA’23 pada Mei tahun hadapan,” katanya.

Beliau menambah, seminar ini telah berjaya mencapai matlamat untuk mengumpulkan peserta dari pelbagai agensi dan institut pengajian tinggi dari seluruh negara. – airtimes.my

**Ikuti siaran selanjutnya dari Ari Times News Network yang akan mengupas intipati Seminar Maritim Kebangsaan 2022

Related Articles

Leave a Reply