BUKIT KAYU HITAM, 18 Ogos – Taktik 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang menyorok dalam kebun getah untuk menyusup ke negara ini gagal apabila mereka diberkas anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI itu ditahan selepas anggota Tim Ronda mengesan pergerakan sekumpulan orang awam disyaki PATI memasuki negara melalui pagar sempadan.
“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua 12 orang awam tersebut yang sedang bersembunyi di kawasan semak dalam kebun getah berhampiran sempadan,
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur di antara 20 hingga 45 tahun terdiri daripada 10 lelaki serta 2 perempuan,
“Turut dirampas adalah 10 buah telefon bimbit dan 7 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM4,700.00,” jelas kenyataan itu.
Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. -airtimes.my