Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot kelas A, tangguk siput secara haram

APMM tahan bot kelas A, tangguk siput secara haram

by Air Times News Network

KUALA PERLIS, 18 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot kelas A dipercayai melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan di kedudukan lebih kurang 2.5 batu nautika dari barat Sungai Padang, malam tadi.

Pengarah APMM Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bertindak hasil maklumat orang awam mengenai pencerobohan oleh sebuah bot menangkap siput, pasukannya telah membuat rondaan Operasi Aman dan Operasi Benteng disekitar perairan Perlis.

Beliau menambah, setelah menyedari kehadiran bot APMM, awak – awak bot Kelas A tersebut segera memotong tali tangguk yang digunakan untuk menangkap hasil siput retak seribu bagi menghapuskan bukti atau mengelak peralatan disita.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut berpangkalan di Jeti Kuala Kedah dan menceroboh masuk ke perairan Perlis yang sedang melakukan aktiviti menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran,

“Semasa ditahan bot tersebut dikemudi oleh seorang tekong dan 5 awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur 21 hingga 50 tahun,” katanya.

Jelasnya lagi, kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput yang anggarkan bernilai lebih RM100,000 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon APMM Kuala Perlis dan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 29 akta yang sama,

“Walaupun rondaan kerap dilaksanakan, namun aktiviti pencerobohan kawasan perikanan kerap berlaku bagi menangkap siput secara haram di negara ini,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply