Home Pertahanan dan Keselamatan LCS: Jemaah Menteri sudah 4 kali diberi penerangan – Hishammuddin

LCS: Jemaah Menteri sudah 4 kali diberi penerangan – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Pertahanan sudah 4 kali memberi penerangan kepada Jemaah Menteri dalam isu berkaitan Kapal Persisir Tempur (Littoral Combat Ship, LCS).

Beliau berkata, kementeriannya telah membentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 November 2022; 5 Mei 2021; 4 Mac 2022 dan yang terbaharu pada 20 April 2022.

Hishammuddin menjelaskan, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lembaga Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) telah melihat semula perancangan perolehan LCS ini dengan agensi pusat yang lain.

“Ia termasuklah Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancangan Ekonomi (UPU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,

“Bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelamatkan projek ini,” katanya di Dewan Negara bagi mengulas usul yang dibahaskan oleh Lim Hui Ying berhubung laporan Jawatankuasa Kira-kira (PAC) berkenaan perolehan LCS bagi TLDM di bawah Kementerian Pertahanan.

Tambahnya, sebagai Menteri Kanan Pertahanan, beliau telah menjawab sebanyak 12 kali berkaitan isu LCS di Parlimen dan termasuklah di Dewan Negara ini minggu lalu.

“Ketegasan dan peringatan saya tidak akan berubah seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Kami mahu memastikan projek ini diteruskan,

“Kita hendak pastikan, pesalah tetap akan dipersalahkan. Selain itu, dalam tempoh 6 bulan ini, proses rundingan dengan pihak OEM giat dilaksanakan dan dipersetujui,

“Bermakna, kerja kita baru bermula untuk proses mobilisasi ini. Beri kami peluang untuk menyelesaikannya,” ujarnya.

Tegasnya, pihaknya kini akan meneruskan untuk mencari siapa yang terlibat dalam isu tersebut untuk dibawa ke muka keadilan.

“Sejak laporan PAC telah dikeluarkan, apa yang perlu dilakukan adalah untuk mendekati dengan OEM tempatan dan di Eropah,

“Saya hendak projek ini diteruskan. Siapa yang salah akan dibawa ke muka pengadilan,

“Saya sendiri bentangkan kepada Jemaah Menteri dan akan memastikan projek ini diteruskan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply