KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan melaksanakan Eksesais KERIS STRIKE 2025 bermula dari 17 hingga 30 Julai ini bersama Tentera Darat Amerika Syarikat dan Tentera Darat Australia.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat, latihan akan dilaksanakan di kawasan sekitar Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong di negeri Perak.
Latihan tahunan ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan operasi bersama antara tentera darat ketiga-tiga negara, memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dan trilateral serta mempertingkat tahap kesiapsiagaan Tentera Darat dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan serantau.
Tentera Darat turut memaklumkan bahawa orang awam, khususnya penduduk di kawasan latihan, diminta agar tidak panik atau cemas sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan konvoi aset ketenteraan atau aktiviti tentera sepanjang tempoh eksesais berlangsung.
Eksesais ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran tahun lalu yang berlangsung di Sabah pada tahun lalu.
Penganjuran tahun lalu juga menjadi detik penting apabila Australia secara rasmi menyertai eksesais ini sebagai rakan trilateral, di mana Keris Strike sebelum ini dilaksanakan secara bilateral Malaysia-AS.
Latihan tersebut turut memberi fokus kepada pertukaran teknologi, kepakaran dan doktrin operasi selain meningkatkan kefahaman bersama dalam konteks keselamatan serantau, khususnya di kawasan Indo-Pasifik yang semakin mencabar.
Eksesais Keris Strike telah menjadi medan penting untuk menguji ketahanan, saling kebergantungan dan kesediaan operasi bersama antara angkatan darat Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia. – airtimes.my
#AirTimes #TenteraDarat #Malaysia #AS #Australia
