Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Isu LCS: Bekas Panglima TLDM didakwa pecah amanah lebih RM21 juta

Isu LCS: Bekas Panglima TLDM didakwa pecah amanah lebih RM21 juta

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai lebih RM21 juta, pada tahun 2010 dan 2011 di Mahkamah Seksyen, hari ini.

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga-tiga pertuduhan, dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitudengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte. Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitudengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Semua kesalahan itu dilakukan di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Menara Boustead,Jalan Raja Chulan pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan sebat serta denda.

Terdahulu, Ahmad Ramli yang memakai kot hitam dan berkemeja putih tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 sebelum bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehari sebelum itu, Jemaah Menteri meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply