Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Penstrukturan Batalion Rejimen Sempadan mampu beroperasi sama seperti RAMD, RRD

Penstrukturan Batalion Rejimen Sempadan mampu beroperasi sama seperti RAMD, RRD

by Air Times News Network

PADANG BESAR, 12 Ogos – Penstrukturan semula Batalion Rejimen Sempadan (BRS) kepada Batalion Infantri Standard (BIS) akan menghasilkan keupayaan yang mampu beroperasi sepenuhnya dan melaksanakan pelbagai latihan sama seperti Batalion Infantri Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, pengisytiharan penstrukturan telah di sempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Padang Kawad, Markas 30 Briged, pada Khamis.

Rejimen Sempadan (RS) telah ditubuhkan pada 12 Januari 2008 bagi menggantikan Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah yang dahulunya ditugaskan menjaga laluan sempadan.

Justeru penstrukturan semula tersebut selari dengan usaha bagi mengenang jasa serta pengorbanan anggota Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah yang cekal memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara.

RS berada di kedudukan kekananan ketiga dalam keseluruhan 16 Kor dan Rejimen dalam TDM serta merupakan salah satu kor infantri dalam kategori elemen tempur.

Acara perbarisan ini merupakan acara bersejarah buat warga RS dalam pembentukan semula BRS kepada BIS yang melibatkan seramai 21 Pegawai dan 706 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama RS, Leftenan Kolonel Mohd Asrul Mohd Sadari.

Bersempena dengan acara bersejarah ini juga turut diadakan Majlis Pemakaian Pangkat Perdana yang melibatkan seramai 611 anggota RS.

“Dari segi infrastruktur pembangunan, TDM akan menaiktaraf kem RS mengikut spesifikasi sebagai BIS yang mana penyediaan prasarana latihan dan rumah keluarga akan dibina dari semasa ke semasa mengikut perancangan,

“Ianya juga bagi menentukan latihan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta dapat menjaga kebajikan anggota RS khasnya TDM amnya,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!