Home PolitikPakatan Harapan Lulus pindaan perlembagaan satu kemenangan besar buat rakyat – Pakatan Harapan

Lulus pindaan perlembagaan satu kemenangan besar buat rakyat – Pakatan Harapan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam sebagai satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia.

Majlis Presiden PH menjelaskan, ia merupakan salah satu tiang seri kepada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan PH yang dipersetujui sebelum ini.

“Majlis Presiden PH amat gembira dan berbangga bahawa Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat semalam,

“Jumlah ini bersamaan dengan sokongan sebanyak 95 peratus, berbanding 5 peratus atau 11 Ahli Dewan Rakyat yang tidak hadir,” jelas Majlis Presiden PH dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Wilfred Madius Tangau.

Menurut mereka, dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam, maka keyakinan rakyat terhadap proses Pilihan Raya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih.

“Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbetul keadaan politik dan demokrasi dalam negara, serta menjamin episod khianat seperti Langkah Sheraton tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” tambahnya.

Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan ini, Majlis Presiden PH turut menjelaskan, 3 dari 18 perkara yang dipersetujui dalam MOU masih perlu dilakukan.

“ia temasuklah menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun; membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat serta Dewan Negara berjalan dengan lebih lancar,

“Pada masa yang sama, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi Kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa,” ujar mereka.

Dalam masa yang sama, Majlis Presiden turut mengarahkan wakil-wakil PH di dalam Jawatankuasa Pemandu MOU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil-wakil kerajaan bagi membincangkan beberapa perkara di dalam MOU tersebut.

“Selain itu, jawatankuasa perlu meneliti perkara-perkara yang dinyatakan Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik,” tambah kenyataan itu.

Semalam, sejarah tercipta apabila RUU berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih 2 pertiga.

RUU itu diluluskan selepas Ahli Parlimen berbahas lebih 600 minit selepas sesi perbahasan mengambil masa 2 hari untuk 80 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang memgambil ruang masing-masing membahaskan RUU berkenaan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju manakala 11 Ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, RUU ini penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

Tambahnya, ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-Ahli Parlimen perlu mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesahteraan dalam apa jua perancangan serta pelaksanaan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply