Home Pertahanan dan Keselamatan Polis nafi waris Sultan Sulu rekrut rakyat di Sabah

Polis nafi waris Sultan Sulu rekrut rakyat di Sabah

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 29 Jul – Polis Sabah menafikan dakwaan terdapat kumpulan ataupun gerakan yang dikaitkan dengan waris Sultan Sulu merekrut rakyat di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah bagaimanapun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah memandang serius isu yang tular mengenai dakwaan di media sosial bahawa waris kesultanan Sulu sedang aktif merekrut rakyat di Lahad Datu.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Siasatan dan risikan polis mengesahkan tidak wujud kumpulan merekrut rakyat warganegara Filipina berketurunan Sulu di Sabah,

“Bagaimanapun, pihak polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu,

“Kumpulan ini merupakan orang perseorangan yang bertindak mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Idris turut memberi amaran kepada mana-mana pihak dan individu agar tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Dokumen pengenalan diri yang didakwa dikeluarkan oleh Kesultanan Sulu kepada rakyat Sabah. Foto: MHO

Terdahulu wujud dakwaan berkenaan kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam merekrut warga tempatan di Sabah khususnya di Lahad Datu dengan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dipercayai ada kaitan dengan kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

Gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu juga ditularkan di media sosial sejak Selasa lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply