Home Semasa Kekalkan subsidi antara 5 tuntutan #Turun di Sogo Sabtu ini

Kekalkan subsidi antara 5 tuntutan #Turun di Sogo Sabtu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Kompleks membeli-belah Sogo sekali lagi menjadi pilihan sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai #TURUN melakukan protes jalanan bagi menuntut kerajaan bertindak menangani kenaikan harga barang, pada Sabtu ini.

Jawatankuasa Turun dalam kenyataan menjelaskan, protes ini dilakukan agar masalah berkaitan kenaikan harga barnag tidak diremehkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri-menteri lain.

Mereka juga meluahkan kekecewaan mereka terhadap ahli politik yang didakwa gagal memahami masalah dihadapi oleh rakyat ketika ini.

“22 hari telah berlalu setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,

“Pasukan ini yang diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta 3 lagi menteri, ternyata gagal menangani masalah inflasi yang merupakan isu paling mendesak dalam negara,

“Selain daripada mengunjungi pasar pagi dan kedai runcit, kesemua anggota pasukan ini yang juga Ahli Jemaah Menteri tidak mempunyai buah fikiran baru yang berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang serta menyalurkan bantuan kepada rakyat,” kata jawatankuasa itu.

Jawatankuasa Turun menuntut 5 perkara iaitu Potong gaji menteri; kekalkan subsidi; salurkan bantuan bermaruah; kawal harga barang dan selesaikan jaminan makanan.

Jawatankuasa itu turut menjelaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini juga telah meluluskan keputusan untuk menaikkan gaji mereka sendiri apabila rakyat tidak mempunyai gaji yang berpatutan.

“Semua lawatan antarabangsa jemaah menteri harus dihentikan sehingga masalah kos sara hidup yang menghimpit rakyat selesai,

“Dengan ini, kita akan turun ke jalan raya (Sabtu ini) dengan 5 tuntutan: Potong gaji menteri, kekalkan subsidi, salurkan bantuan bermaruah, kawal harga barang, selesaikan jaminan makanan,” kata kumpulan itu.

Sehubungan itu, jawatankuasa Turun menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai mereka dalam protes berkenaan, yang akan diadakan di kompleks beli-belah Sogo pada pukul 2 petang Sabtu ini (esok).

“Kita tidak mempunyai pilihan selain turun dengan satu suara supaya masalah ini tidak diremehkan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri lain,

“Kita mengajak rakyat Malaysia yang bersependapat dengan 5 tuntutan ini untuk turun bersama,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply