Home Semasa Polis berkas 3 ‘doktor’ pusat hiburan bekalkan dadah

Polis berkas 3 ‘doktor’ pusat hiburan bekalkan dadah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas 3 individu yang digelar ‘doktor’ untuk membekalkan dadah di pusat hiburan antara 180 individu ditahan dalam operasi khas sekitar ibu kota pada 15 hingga 17 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi khas pusat hiburan Kuala Lumpur ini bermula jam 11 malam (15 Julai) hingga 5 pagi (17 Julai).

“Sebanyak 20 serbuan di pusat hiburan di seluruh KL telah dibuat dan pihak polis telah berjaya menangkap 180 individu atas pelbagai kesalahan dadah,

“Berbagai-bagai jenis dadah yang dipercayai untuk kegunaan di pusat hiburan telah dirampas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga Iran serta seorang lelaki warga Bangladesh yang dikenal pasti sebagai ‘doktor’ pusat hiburan iaitu pembekal dadah.

Menurut Azmi, sebanyak 3 saman di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

Manakala, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 918 individu yang 10 pusat karaoke dan 10 pub serta bar.

“Daripada pemeriksaan dilakukan, terdapat 191 kes dilaporkan membabitkan 180 kes mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 12(2) (enam kes); masing-masing satu kes membabitkan Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) akta sama selain tiga kes mengikut Seksyen 4(1)(b),

“Manakala, polis turut merampas dadah jenis kokain seberat (1.46 gram); serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (444.34 gram); ketamin (21.82 gram); ekstasi (13.26 gram) dan erimin 5 (2.79 gram),” ujarnya.

Azmi berkata, tindakan itu menunjukkan Polis Kuala Lumpur khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur sentiasa mengambil tindakan dalam memastikan tiada pusat hiburan di ibu kota ini dijadikan sebagai lubuk pengedaran dadah.

“Tindakan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan bagi mengelakkan golongan belia khususnya terjebak dengan masalah dadah,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!