Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Ikmal Hisham nafi beri jam G-Shock tarik 30,000 pengunjung program PN

Ikmal Hisham nafi beri jam G-Shock tarik 30,000 pengunjung program PN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jul – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz menafikan sekeras-kerasnya dakwaaan yang mengatakan beliau menawarkan jam tangan G-Shock kepada pengunjung yang hadir pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan Sabtu lalu.

Ikmal Hisham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, sebaliknya kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung tersebut seperti mana didakwa,

“Saya percaya kehadiran mereka bagi menghargai Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik COVID-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal mendakwa wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menawarkan jam jenama Casio G-Shock secara percuma untuk menarik kehadiran orang ramai ke Majlis Pelancaran PN Kelantan di padang Majlis Daerah Tanah Merah, pada Sabtu.

Sementara itu, Ikmal Hisham turut mencabar mereka yang membuat tuduhan mengemukakan bukti mana-mana individu penerima pemberian jam tangan atau payung itu ketika hadir di majlis berkenaan.

“Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung,” jelasnya.

Menurutnya seminggu sebelum acara tersebut, beliau telah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir bagi melancarkan PN peringkat negeri Kelantan.

“Dan pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut. Terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang,

“Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply