Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Ceroboh dan rosak pagar sempadan negara, 7 PATI Myanmar diberkas

Ceroboh dan rosak pagar sempadan negara, 7 PATI Myanmar diberkas

by Nurulhuda

BUKIT KAYU HITAM, 20 Jun – Tindakan 7 pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk Malaysia melalui pagar sempadan negara gagal, apabila diberkas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), hari ini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada 5 orang lelaki dan 2 wanita itu ditahan ketika bersembunyi di dalam semak berhampiran jalan raya di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Sebelum itu, Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) Operasi Benteng (Op Benteng) telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan memasuki negara melalui pagar sempadan.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam tersebut seramai 7 orang yang bersembunyi di dalam kawasan semak berhampiran jalan raya,

“Hasil pemeriksaan mendapati PATI yang berumur 28 hingga 54 tahun itu memasuki negara dengan merosakkan pagar sempadan dan kesemuanya adalah warganegara Myanmar serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Markas 2 Div, turut dirampas 7 buah telefon bimbit dan wang tunai matawang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 4,211.13.

“Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam,” tambahnya.

Pada 18 Jun lalu, seramai 47 orang PATI warganegara Myanmar telah ditangkap di sekitar lokasi yang sama kerana dengan memasuki negara ini menggunakan kaedah merosakkan pagar sempadan.

Pasukan beroperasi akan terus meningkatkan kawalan di sempadan negara bagi menghalang sebarang cubaan aktiviti jenayah rentas sempadan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply