MOSKOW, 21 Jun – Kerajaan Rusia enggan memberi jaminan bahawa veteran tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditawan di Ukraine terlepas dari hukuman mati.
Perkara tersebut disampaikan oleh jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
“Saya tidak boleh memberikan sebarang jaminan. Ia bergantung kepada siasatan,” katanya semasa wawancara dengan stesen televisyen NBC pada Isnin.
Beliau mengulas sama ada kedua-dua veteran tentera AS yang ditawan pada minggu lalu akan menerima nasib seperti 3 tentera asing warganegara Britain dan Maghribi.
Tentera asing warganegara Britain, Aiden Asloin dan Shaun Pinner serta seorang lagi warga Magribi, Brahim Saadoun telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Republik Donetsk.
Mereka didapati terlibat dalam operasi menentang tentera Rusia di bahagian timur Ukraine semenjak perang tercetus pada 24 Februari lalu. – airtimes.my