[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=EaU9jPMAIlM[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Bacaan kali pertama untuk pindaan rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya menjangkakan ia selesai sepenuhnya awal tahun hadapan.
“Saya yakin Dewan Rakyat dan Dewan Negara tiada halangan. InsyaAllah, Januari 2023 kita sudah ada undang-undang yang dimansuhkan secara realiti,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan di laman Facebook rasminya, hari ini.
Wan Junaidi berkata kerajaan juga akan menjalankan tinjauan awam untuk mengumpul maklum balas daripada rakyat mengenai rancangan pemansuhan itu sebelum membentangkan undang-undang itu ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
“Jika boleh selesaikan soalan-soalan (mengenai) pindaan dulu dan bentangkan apa kabinet dah putus untuk putuskan tentang hukuman mati mandatori pada Oktober nanti,
“Kemudian pada Disember, ia akan dibawa ke Dewan Negara. (Jadi) menjelang Januari akan dimansuhkan secara realiti,” ujarnya.
Jumaat lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.
Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.-airtimes.my
