Home Semasa Pengeluaran KWSP tidak boleh dijadikan satu-satunya cara tangani kos sara hidup

Pengeluaran KWSP tidak boleh dijadikan satu-satunya cara tangani kos sara hidup

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Jun – “Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh dijadikan satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu harga barang dan kos sara hidup yang meningkat mendadak ketika ini,” kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang mendadak ketika ini, kerajaan perlu mencari pendekatan yang berbeza bersifat holistik termasuk intervensi terhadap rantaian bekalan makanan asasi rakyat.

“Ramai yang minta diperjuangkan sekali lagi isu KWSP. Waktu saya berjumpa untuk merayu kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul sebelum ini, saya dah berhujah bahawa pengeluaran RM10,000 KWSP dahulu adalah yang terakhir bagi memenuhi tuntutan rakyat yang susah untuk memulakan kehidupan baharu pasca pandemik,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Katanya, karenah birokrasi di peringkat bawah juga perlu ditangani segera bagi memastikan apa jua bantuan kepada rakyat termasuk subsidi dapat disampaikan secara berkesan.

“InsyaAllah tengahari ini juga ada beberapa persatuan penternak ayam dikalangan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) dan wakil Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan datang ke pejabat Pemuda UMNO untuk berbincang mengenai isu-isu melingkari mereka untuk diangkat kepada kerajaan,”

“Pemuda UMNO akan terus bersuara bagi pihak rakyat dan bersedia menjadi penghubung kepada kerajaan agar suara hati rakyat benar-benar didengari mereka,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!