Home Semasa Wan Junaidi diberi mandat libat urus Akta Transformasi Parlimen

Wan Junaidi diberi mandat libat urus Akta Transformasi Parlimen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar diberi mandat untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan melibatkan transformasi Parlimen.

Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu melibatkan Akta Suruhanjaya Parlimen, pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta Kod Etika Ahli Parlimen.

“Mesyuarat bersetuju memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak yang berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan yang melibatkan Akta Suruhanjaya Parlimen, Pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta Kod Etika Ahli Parlimen,

“Semua ini harus diselesaikan sebelum sesi Parlimen akan datang. Parlimen Malaysia akan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan dan sentiasa menyokong serta bekerjasama bagi menjayakan agenda ini,”katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen semalam susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Jun lepas.

Mesyuarat itu turut dihadiri Wan Junaidi, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

“Dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Transformasi Parlimen telah mengemas kini Rang Undang-Undang Suruhanjaya Parlimen yang baru dan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta telah dimajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tambahnya.

Menurutnya, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju pada dasarnya dengan cadangan dan perakuan Jawatankuasa Transformasi Parlimen supaya Parlimen Malaysia berfungsi mengikut dasar pengasingan kuasa seperti diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang kendiri serta pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply