Home Semasa KPDNHEP Kelantan rampas barang kawalan bernilai RM1.7 juta

KPDNHEP Kelantan rampas barang kawalan bernilai RM1.7 juta

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 7 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merekodkan rampasan bernilai lebih RM1.7 juta membabitkan 88 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak Januari sehingga kini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, rampasan menerusi operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain itu melibatkan barangan seperti gula, tepung gandum, minyak masak, petrol dan diesel.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya membuat tangkapan seramai 26 orang suspek dalam operasi yang dijalankan di sempadan negara dan sekitar daerah di Kota Bharu, Tumpat serta Pasir Mas.

“Terdapat juga kenderaan yang telah disita oleh KPDNHEP Kelantan hasil daripada aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di sempadan negara sepanjang Januari hingga terkini melibatkan sebanyak 38 buah kenderaan,

“KPDNHEP Kelantan telah berjaya mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan petrol dan diesel dari dibawa keluar dan diseleweng ke negara jiran dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 72,146.50 bagi setengah tahun pertama tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aswadi berkata, terkini dalam operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubor, Tumpat telah berjaya menahan seorang pemandu treler jenis Volvo berusia 30-an di sebuah stesen minyak Jalan Padang Enggang Pasir Hor.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 372 liter diesel diisi oleh suspek dalam tangki diubah suai dan dianggarkan sebanyak 650 liter lagi diisi dalam tangki tambahan bernilai RM2,197.30,

“Modus operandi ialah melakukan pembelian diesel di beberapa stesen minyak dengan menggunakan tangki ubah suai berkapasiti besar untuk mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di sempadan negara sentiasa dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply