Home PolitikPAS /PPBM / LAIN BERSATU ingin kembali bersatu, sudah lupa Langkah Sheraton – PEJUANG

BERSATU ingin kembali bersatu, sudah lupa Langkah Sheraton – PEJUANG

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyifatkan tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang senada untuk kembali bersama parti-parti lain sebagai satu retorik baharu demi memastikan negara dapat diselamatkan.

Tindakan itu kebanyakan dari pihak yang sama keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Negeri PEJUANG Wilayah Persekutuan, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, bekas Perdana Menteri itu turut menyatakan bahawa semua parti politik mesti sedari tanpa gabungan atau penyatuan tidak mungkin UMNO atau BN dapat dikalahkan.

“Kebelakangan ini kedengaran pelbagai berita mengenai kemahuan parti-parti politik untuk kembali BERSATU demi memastikan negara dapat diselamatkan,

“Harapkan pegar, pegar makan padi. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat mengenai Presiden BERSATU ini. Pada masa Langkah Sheraton berjalan di manakah laungan perlunya gabungan ini?

“Bukankah beliau sendiri secara sebelah pihak (unilateral) menarik balik sokongan BERSATU dari PH sehingga menjatuhkan kerajaan? Malah beliau naik kerusi Perdana Menteri dengan individu-individu sama yang kini ingin beliau tentang,

“Kita jangan lupa Langkah Sheraton juga telah memperlihat bagaimana ahli politik untuk kekal berkuasa, kekal pangkat, kekal jawatan dan untuk motif-motif tersendiri sanggup membelakangkan mandat dan undi rakyat,

“Pada masa itu adakah mereka memikir gerakan itu akan memberi nyawa semula pada segelintir dalam UMNO yang kini telah kembali ke persada kuasa?,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, peristiwa pada bulan Mac 2020 itu tidak mungkin dapat dilupakan walau sudah 2 tahun berlalu.

“Bulan Mac 2020 nampak seperti sudah lama berlalu. Tetapi terdapat luka yang masih baru. Rakyat tidak harus lupa itu. Rakyat dan pengundi juga tidak harus lupa bahawa ada pemimpin-pemimpin PEJUANG dan juga ahli-ahli PEJUANG yang tidak bersetuju dan melawan gabungan Langkah Sheraton,

“Pengerusi PEJUANG, Presiden PEJUANG, Timbalan Presiden PEJUANG, Setiausaha Agung PEJUANG, Bendahari PEJUANG malah ada juga ahli-ahli Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG telah menjadi mangsa dek kerana tidak sehaluan dengan Langkah Sheraton. Pertahan mandat rakyat tetapi dihukum keluar dari kerajaan,

“BERSATU kemudiannya bergabung dengan UMNO, PAS, MCA, MIC dan GPS dari Sarawak membentuk kerajaan. Dinamakan Perikatan Nasional (PN) tetapi ada pula ikatan sebelum itu antara UMNO dan PAS dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN). Label semata-mata label, yang pasti, ianya semata-mata menghalalkan Ahli-Ahli Parlimen yang tolak mandat rakyat untuk berada di Putrajaya,

“Ia hanya untuk kelangsungan berkuasa. Supaya mereka dapat gaji besar, dapat segala kemudahan dan paling penting sekali agar dapat menggunakan media arus perdana supaya rakyat dapat dikelirukan,” ujarnya.
Muhammad Rafique turut menjelaskan, naratif baru itu iaitu kerajaan di bawah ‘Abah’ akan dapat membawa Malaysia harungi COVID-19.

“Lockdown dan kawal. Maka Abah berdoa, rakyat tadah tangan dan turut ‘amin’ bersama. Cuma ahli politik lain sedikit. Mereka kebal boleh berlegar, boleh buat jamuan, boleh kembali luar negara tanpa perlu kuarantin. Rakyat jangan lupa ‘double-standard’ ini,” tegasnya.

Tambahnya, Muhyiddin hilang kuasa setelah 18 bulan memerintah dan menyatakan dirinya dikhianati.

“Beliau mula menyatakan pengkhianatan tetapi Langkah Sheraton bukan pengkhianatan? Dikhianati oleh puak sama yang mengkhianat mandat rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Rafique menjelaskan, rakyat kini perlu kesatuan dalam menolak pemimpin-pemimpin yang mendapat keuntungan dari Langkah Sheraton tersebut.

“Saya nyatakan pemimpin kerana individu-individu yang harus diangkat ke Parlimen ini mestilah yang benar-benar layak dan tidak khianat,

“Rakyat harus meneliti calon-calon atas individu itu sendiri dan tidak semata-mata kepada fahaman politiknya. Rakyat mesti bijak memilih. Rakyat mesti juga berani keluar lagi semasa PRU untuk buat sekalian kalinya melakukan perubahan,

“Pilihan untuk bergabung atau tidak terletak pada mana-mana pihak yang ingin bertanding semasa pilihanraya. Itu keputusan yang sehingga kini belum kelihatan jelas,” tegasnya.

Namun Rafique menjelaskan, ia tidak seharusnya menjadi kayu pengukur kepada rakyat. Pilihan pengundi mestilah berdasarkan kepada calon itu secara individu dan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Justeru, rakyat adalah King. Bukan ‘raja’ seperti fahaman Datuk Seri Najib Razak tetapi ‘raja’ dalam sistem demokrasi iaitu memilih yang benar-benar layak, berprinsip dan berkredibiliti,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply