Home Semasa Hujan lebat, sungai cetek antara punca banjir di Janda Baik -Wan Rosdy

Hujan lebat, sungai cetek antara punca banjir di Janda Baik -Wan Rosdy

by Nurulhuda

BENTONG, 12 Mei – Antara penyebab utama banjir di Janda Baik, pada Rabu disebabkan hujan yang terlampau lebat di kawasan hulu sehingga berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada Disember tahun lalu antara penyumbang kepada bencana berkenaan.

Menurutnya, cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan taburan hujan pada awal pagi hari kejadian sebanyak 19.5 milimeter (mm) dalam tempoh 3 jam.

“Kadar hujan dalam tempoh 3 jam itu dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10 mm,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya, malam tadi.

Wan Rosdy berkata, berikutan kejadian berkenaan, kerajaan telah mengarahkan beberapa tindakan segera bagi membantu mangsa yang terkesan dalam kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Janda Baik itu.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

“Bantuan pek makanan dan bantuan lain juga akan ditambah dari masa ke masa dengan kadar segera,

“Bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin,” tambahnya.

Dalam hantaran yang sama, beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri dan agensi yang terlibat sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

Justeru, semua mangsa yang terlibat tabah mendepani ujian itu, manakala kerajaan negeri akan sedaya upaya membantu semua yang terkesan dengan habis baik.

Pada Rabu, 2 buah kampung iaitu Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperoh di kawasan Janda Baik terjejas dalam kejadian banjir kilat sehingga mengakibatkan 42 mangsa terpaksa berpindah dari kediaman mereka.

Pasukan bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi menyelamat berdepan kesukaran ekoran berlaku kejadian pokok tumbang menghalang ke lokasi kejadian sehingga jentera tersekat di dalam lumpur.

Selain itu, turut berlaku kejadian tanah runtuh di jalan masuk ke Janda Baik dan di antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply