Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Projek Jiwa Murni di Kampung Pulau Penarek siap lebih awal dari jadual

Projek Jiwa Murni di Kampung Pulau Penarek siap lebih awal dari jadual

by Nurulhuda

TANGKAK, 21 Apr – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) telah melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) dengan membaiki rumah kediaman penduduk di Kampung Pulau Penarek, Sungai Mati yang rosak akibat dilanda ribut pada bulan lalu.

Menurut TDM, PJM ini melibatkan pembaikan bumbung 23 buah rumah yang mengalami kerosakan kecil dan 2 buah rumah yang mengalami kerosakan serius akibat dilanda bencana itu.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah mengadakan lawatan kerja ke lokasi itu bagi melihat pelaksanaan keseluruhan projek di bawah kelolaan Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen (MK RAJD 3 Div) pada Rabu.

“PJM yang bermula pada 6 April lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 18 April 2022 telah berjaya disiapkan lebih awal dari jadual,

“Ia telah siap sepenuhnya pada 13 April 2022 yang lalu dengan kerjasama secara gotong-royong oleh penduduk setempat,

“PJM ini melibatkan Skuadron Kesembilan Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 Skn RAJD) dan Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (11 Skn RAJD) serta dibantu oleh anggota sokongan daripada Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD),” kata TDM menerusi hantaran di media sosialnya.

Anggota dari Skuadron Kesembilan Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 Skn RAJD) dan Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (11 Skn RAJD) serta dibantu oleh anggota sokongan daripada Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) diaturgerakan laksana PJM di Kampung Pulau Penarek.

Tambahnya, seramai seorang pegawai dan 17 anggota telah diaturgerakkan untuk melaksanakan PJM ini.

“Sebanyak 2 buah rumah telah siap dibaiki sepenuhnya iaitu melibatkan rumah kediaman Encik Sulaiman Ali dan Puan Tipah Nong yang sempat dilawat oleh PTD,

“Sesungguhnya, bantuan sebegini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu, Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam, yang memberikan penumpuan kepada aspek pembentukan keyakinan dan pengiktirafan rakyat kepada TDM,” jelas TDM.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply