Home Semasa Bekas KSN Ali Hamsa kembali ke rahmatullah

Bekas KSN Ali Hamsa kembali ke rahmatullah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland.

Berita itu disahkan oleh KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mewakili seluruh warga perkhidmatan awam Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland,

“Tan Sri Dr Ali Hamsa merupakan tokoh besar dalam Perkhidmatan Awam Negara. Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981,

“Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatannya, beliau telah menabur bakti di pelbagai Kementerian dan Jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, INTAN, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri,

“Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadhan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada Negara dan Perkhidmatan Awam,

“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulis kenyataan itu.

Allahyarham Ali Hamsa yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1958 memegang jawatan KSN dari tahun 2012 hingga 2018.

Sebelum dilantik sebagai KSN, Ali pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian juga sebagai Ketua Penolong Pengarah/ Ketua Unit Perkapalan di Kementerian Pengangkutan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply